Sunday, 13 May 2012

SEKAPUR SIRIH GURU BESAR




Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera,

Pertamanya, marilah kita merafa’kan rasa syukur hanya kepada Allah kerana keizinanNya dapat kita bersama dalam ruang yang sempit lagi singkat ini.Sesungguhnya segala nikmat yang diberikan kepada kita seharusnya menyedarkan kita bahawa amanah yang kita pikul sebenarnya masih lagi jauh untuk digapai.
Telah sekian lama,kita akur bahawa  ibu bapa dan masyarakat masih menaruh harapan terhadap keupayaan dan kebolehan kaum guru untuk mendidik anak-anak mereka di sekolah menjadi insan yang berguna.Dalam menghadapi arus perdana globalisasi, kaum guru turut bersama mengharungi pelbagai cabaran dan karenah murid-murid dengan pelbagai isu seperti masalah disiplin dan salah laku. Pada hari ini , tanggungjawab guru bukan sekadar menggapai kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan dan pencapaian kokurikulum semata-mata tetapi berusaha menempatkan sekolah dalam kelompok sekolah ‘elit’ seterusnya menjadi impian masyarakat setempat untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah ini.
Justeru, kita seharusnya merapatkan barisan dan saling bekerjasama dengan segala ahli komuniti yang ada bagi membentuk sejarah kecemerlangan sendiri. Ini dapat kita lihat sejak kebelakangan ini bahawa kejayaan sekolah akan member impak dan keyakinan tinggi kepada para ibu bapa pelajar yang terus yakin bahawa setiap anak mereka lahir dengan keupayaan dan kecemerlangan sendiri. Walaupun tidak semua pelajar ini Berjaya dengan gemilang , namun semangat yang ditunjukkan oleh semua guru, pelajar dan ahli komuniti sangat membanggakan. Harapan kita komitmen sebegini harus diteruskan oleh semua yang terlibat tanpa mengharapkan ganjaran sebaliknya penuh keikhlasan dan semangat juang yang jitu.
Tugas guru pada hari ini juga turut menuntut mereka menjayakan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia dengan melahirkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral, beretika selain melahirkan insan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Kejayaan Misi Nasional melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bergantung sepenuhnya kepada kesedaran dan tindakan para guru sebagai agen perubahan dan sumber inspirasi kepada para pelajar. Bersama-samalah kita menjayakan wawasan negara seterusnya berjaya melonjakkan profesion keguruan agar para guru sentiasa dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.

Sekian,


TN HJ A GAFA BIN HASHIM
Guru Besar
SK Liang Batu, Lenga, Muar

No comments:

Post a Comment